Assalamualaikum.
Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang mandi, biar basah. Alang-alang berdakwat, biar hitam. Genggam bara api, biar sampai jadi arang. Biar putih tulang, jangan putih mata. Dari hidup bergelumang tahi, biar mati bertabur bunga.
Semangat yang membara, berapi-api, keazaman yang lebih utuh daripada batuan granit di pergunungan, seringkali dikaitkan dengan anak-anak muda. Anak-anak muda seperti kita. Dan seperti lumrahnya air yang memerlukan takung agar tidak membanjiri lembah tanpa tujuan, semangat juga memerlukan wadah untuk ditampung dan menjadi matlamat perjuangan.
Pelbagai wadah dipilih oleh anak-anak muda yang bersemangat waja ini. Memperjuangkan bangsa, bahasa, agama, alam sekitar, malah binatang peliharaan seperti kucing dan anjing, mungkin. Dan sesudah wadah itu dipilih, maka berjuanglah mereka dengan sepenuh hati, mencurahkan setiap titik peluh demi passion yang merajai perasaan. Hingga ada yang rela mengorbankan nyawa. Aktivis Greenpeace tidak berdolak-dalih terjun ke laut menghalang kapal-kapal menumpahkan sisa toksik, memeluk pokok menghalang pembalakan yang entah haram atau halal. Aktivis Reformasi tidak segan-silu melalak meraung di jalan raya, menggadaikan masa depan, biar dibuang universiti atau disumbat ke Kamunting, biar ibu dan ayah menangis di kampung. Begitukah? Begitu, kan?
Melihat tulisan-tulisan aktivis maya - ya, mereka yang punya agenda perjuangan tersendiri dan memilih lapangan maya sebagai salah satu gelanggang mereka - acapkali saya tersenyum kekaguman. Alangkah hebatnya semangat mereka, alangkah mantapnya ilmu yang mereka miliki (dipinjamkan sebenarnya), alangkah murninya iltizam dan niat mereka. Oops, sebentar. Niat? Apa niat mereka ya? Hmm….
Sesungguhnya, lebih mudah menjaga fizikal daripada menjaga hati. Lebih mudah mengawal perilaku daripada berbuat maksiat daripada memelihara hati agar sentiasa persih dan tulus. Kerana hati itu terlalu mudah tergelincir, kerapkalinya tanpa disedari oleh empunya hati, sehingga setelah hati itu gelap berkarat barulah terasa silapnya, dan mungkin ketika itu sudah terlalu payah untuk kembali.
Setiap amalan itu dikira dengan niat. Dan niat itu tidak lain, kemuncaknya perlulah untuk memperoleh keredhaan Allah S.W.T. Walau dengan apa medium sekalipun. Walau dengan perjuangan apa sekalipun sebagai caranya. Dan ingat, kalau niatnya silap, maka perjuangan semulia manapun, boleh saja hilang nilainya. Sebagaimana dia yang kononnya syahid di medan perang pada zahirnya, tetapi mungkin saja dicampak ke neraka kerana niat untuk kebanggaan peribadi.
Mungkin saja ada antara kita yang memang menderhaka dengan sengaja. Kita tahu apa yang dilakukan itu salah, jauh daripada memperoleh keredhaan Allah malah mungkin sekali menempah kemurkaanNya, tetapi kita melakukan juga. Apa niatnya? Kesombongan sendiri? Tidak mahu mengakui kebenaran orang lain kerana enggan menjatuhkan keangkuhan? Atau tidak sanggup melepaskan keseronokan mengikut hawa nafsu, sedangkan sendiri mengetahui antara yang benar dan yang palsu? Ah, seperti sebab-sebab kafir Quraisy pada zaman Jahiliyah menolak utusan Allah Muhammad S.A.W. Seperti merekakah kita? Mohon dijauhkan Allah.
Tapi jangan pula lupa, mudah sekali untuk menderhaka dalam taat. Kita rasa yang kita sedang melakukan sesuatu yang mulia, yang suci, tetapi sebenarnya niat sudah terpesong. Gah benar suara kita mempertahankan agama. Mengutuk orang-orang yang kita sifatkan sebagai sesat dan jauh daripada kebenaran, malah membawa kepada kemungkaran dan kemaksiatan. Dan kita berasa bangga dengan apa yang kita lakukan, yakin bahawa Allah akan memandang kita dengan pandangan rahmatNya dan memberi kemenangan kepada kita. Tetapi sebentar. Betulkah niat kita untuk mendapat keredhaan Allah? Semata-mata?
Atau kerana keegoan, untuk mempertahankan apa yang kita yakini benar? Fikirkan, mungkin sahaja cara yang kita pilih itu silap dan yang orang lain pegang itu benar. Dan Allah tidak menyuruh kita berpecah-belah. Tetapi kerana keegoan, kita berkeras mengatakan bahawa kebenaran itu hanyalah di pihak kita, dan bertegas mendakwa bahawa kita berjuang untuk menegakkan agama Allah. Dan kita mengancam, menuduh sesiapa sahaja yang tidak bersetuju dengan kita sebagai sesat lagi menyesatkan.
Di manakah bezanya kita dengan orang-orang Jahiliyah?
Mungkin juga, apa yang kita katakan adalah benar. Ya, dan mereka yang lain itu sungguh-sungguh salah. Lantas kita pun gah mendabik dada, lihatlah dunia, betapa betulnya aku, betapa silapnya mereka! Masihkah kerana Allah perjuangan kita, tanpa sekelumitpun kebanggaan, riak, takbur, ‘ujub dan suma’ah? Adakah kita melihat mereka yang silap itu dengan perasaan kasihan dan kasih sebagai saudara-saudara seIslam yang perlu diajak ke arah kebenaran, ataupun dengan perasaan jelek, benci dan menyampah? Ambil contoh dua orang wanita, seorang berhijab dan seorang tidak. Fikirkanlah letak duduk amalan si muhajabah jika dia berasa riak dan bangga, berasa lebih mulia daripada wanita yang tidak berhijab, berasa Allah lebih menyayanginya dan manusia patut mengaguminya berbanding saudaranya yang tidak berhijab itu.
Dalam masa yang sama, benar, yang berhijab itu benar dan yang tidak berhijab itu silap. Yang memperjuangkan Islam dengan cara yang betul itu benar dan yang menentangnya itu silap. Harus ingat, yang saya bicarakan di sini adalah perkara hati. Niat dan keikhlasan. Sifat tawaduk dan kehambaan. Kesedaran bahawa setiap perkara yang berlaku adalah dengan keizinan Allah. Hidayah, taufiq, dan kemudahan yang dikurniakan untuk kita berjuang di jalanNya adalah milikNya, yang boleh saja ditarikNya bila-bila masa andai kita angkuh, kasar, lagi tidak bersyukur, atau menderhaka dalam waktu kita perasan-perasan sedang taat. Mohon dijauhkan Allah hendaknya.
Hidayah, taufiq, dan pertolongan Allah, serta ilmu pengetahuan dan kefasihan berbicara itu adalah kemudahan dan kesenangan. Manusia yang memperoleh kemudahan dan kesenangan mudah sekali alpa kepada Yang Mengurniakan, berbanding manusia yang meratap merayu mencari-cari pertolongan, cinta dan keampunanNya. Mudah sekali berasa diri hebat, cukup, dan lupa bahawa kehebatan dan keupayaan itu semua adalah pemberian Allah. Sementelahan pula semangat yang membara dan berapi-api, sepadan dengan usia yang muda dan darah yang mendidih sentiasa, barangkali senang untuk kita tergelincir daripada landasan tingkahlaku dan niat yang sewajarnya disasarkan ke arah keredhaan Allah S.W.T.
Sama-samalah kita memohon kepada Allah, yang memegang hati-hati kita semua, agar menetapkannya menyatukannya dalam jalan yang Dia redhai.
Ya Allah, Ya Tuhan kami, janganlah kiranya engkau pesongkan hati-hati kami, setelah Engkau kurniakan kepada kami petunjuk; anugerahkanlah kepada kami akan rahmat, kerana sesungguhnya Engkau Tuhan Yang Maha Pengurnia. (Ali Imran , ayat lapan)
Peringatan ini dikhaskan untuk saya, dan sahabat-sahabat yang bersemangat mencurah ilham di laman ini serta bergelanggang di dunia luar sana.
Dan Allah Maha Mengetahui.
Salam perjuangan, kaki mengatur langkah pertama.
meow~~

4 responses so far ↓
marjan // Oct 27, 2006 at 7:04 am
A’kum kepada pengarang,
First of all AA( 2 harakat) Min ( 4 harakat ) kepada surah Ali Imran ayat 8 yang diketengahkan. Sepintas lalu aku baca entry nie macam panjang dan kurang menarik. Tapi bila dah baca the 1st 2 paragraph aku layan sampai habis, amat menarik.
Sejak kecik aku didengarkan dengan “don’t judge a book by its cover” tapi lately nie ceramah2 agama yang aku dengar semuanya menjurus kepada kepetrampilan seseorang itu menunjukan dia islam or not. Quote form an ustaz.. “kalau kat luar serabut kat dalam lagi serabut”.
niat aku comment entry nie:-
1. nak bagi tau yang aku suka entry nie
2. nak org datang ke blog aku
Sekian,
Wasalm dari marjan
kaki bangku // Oct 27, 2006 at 4:51 pm
Ouch~ …terasa. Tapi terima kasih atas peringatan ini. Moga kita selalu bermuhasabah diri. Lepas ni tanak dah kutuk-kutuk pihak XXXX tuh. Depa pun dah paham pendirian kita.
Deen on…
laila // Oct 28, 2006 at 1:55 am
salam..
pertama-tamanya, selamat dtg ke kaki.
terima kasih untuk peringatan yang baik ni.
memang tak mudah nak menjaga hati, nak memelihara niat.
benar juga seorang kata orang, “istiqamah itu karamah..”
“Ya Muqallibal quluub..Tsabit quluubanaa ‘ala diinik..”
p/s:perjuangan jadi bertambah indah dan seronok bila ada teman yang ’seangkatan’ di sisi..(”,)
..... // Oct 28, 2006 at 5:39 am
Assalamua’alaykum,
Pastikan niat nya betul, dan cara nya betul, insya Allah, Allah Maha Mengetahui segalanya..
Dan ingat seperkara :
‘Niat tidak sesekali menghalalkan cara’
Wallahu’alam.
Leave a Comment