Kemunculan Gerakan Tajdid Sufi
Seperti yang dijanjikan, aku akan memulakan siri Kembara Sufi Sub Sahara. Aku akan cuba menulis setiap Selasa, Khamis dan Sabtu sambil bekerja di lab komputer.
Tapi sebelum aku mulakan, perlulah dijelaskan bahawa aku bukan seorang sufi apatah lagi pakar dalam sejarah sufi sekitar sub sahara ini. Aku cuma merujuk kepada sumber-sumber sekunder dalam menilai susur galur dakwah para awliya. Perlu juga diingatkan bahawa naratif sejarah bukan untuk tujuan akademik.
Kurun ke-18 menyaksikan pelbagai gerakan pembaharuan yang menuntut umat supaya berpegang teguh kepada Islam. Yang paling awal dan paling radikal ialah gerakan Muhammad bin Abd Wahhab (dinamakan gerakan Wahhabi) yang bersifat anti-sufi. Selari dengannya, terdapat juga gerakan-gerakan yang beroperasi dalam linkungan turuq Sufinya sendiri. Agenda pembaharuan gerakan ini bukanlah menghapuskan golongan Sufi, sebaliknya bertujuan untuk memperbaiki tariqat Sufi masing-masing sesuai dengan Shariah.
Orientasi Sufi reformis sebegini mempunyai perbezaan ketara dengan amalan Sufi sebelumnya yang banyak dipengaruhi oleh pemikiran Ibn ‘Arabi. Idea-idea Ibn ‘Arabi mengutamakan perspektif yang pluralistik terhadap agama dan hikmah kebatinan di sebalik amalan zahir. Hal ini memberi kecenderungan kepada para Sufi untuk bertoleransi dengan pihak kufur dan perbezaan-perbezaan dalam amalan zahir umat Islam.
Gerakan Wahhabi ketika ini banyak mengambil idea daripada fahaman tajdid Ibn Taymiyyah sedangkan gerakan pembaharuan Sufi pula dipengaruhi pemikiran al-Ghazali. Hal ini dapat dilihat melalui kemunculan terjemahan dan ulasan karya-karya Al-Ghazali di kalangan reformis Sufi era ini. Hasilnya, pihak reformis ini tidak mengambil pendirian untuk menolak turuq Sufi, sebaliknya cuba memperbaharuinya dalam lingkungan tradisi turuq Sufi.
Di sebelah Timur, gerakan Naqshabandiyya memainkan peranan utama dalam mempengaruhi kumpulan Kaum Muda di China (tak sama dengan Kaum Muda Tanah Melayu kurun ke-20) dan Shaykh Mansur di Chechnya untuk mempertahankan nasib umat Islam. Sementara di Timur Tengah gerakan reformis Sufi dipelopori oleh Khalwatiyya yang menyeru kepada kefahaman dan amalan yang sesuai dengan Shariah. Kebanyakan tokoh-tokoh Khalwatiyya ini terdiri daripada tenaga pengajar di Universiti Al-Azhar. Selain itu, terdapat juga gerakkan-gerakkan lain yang turut aktif dalam kegiatan islah masyarakat seperti Sammaniyya, Sanusiyya dan Idrisiyya di Afrika Utara.
Demikianlah gambaran awal suasana tajdid kurun ke-18. Dalam episod seterusnya, aku akan menumpukan kepada gerakan para Sufi di Sub Sahara. Bersambung inshallah…
Rujukan: Nehemia, Levtzion (1994). Islam in West Africa: Religion, Society and Politics to 1800.



5 responses so far ↓
huds // Nov 17, 2006 at 5:33 am
Macam menarik je kisah sejarah ni.. tak penah pun aku dengar sblom ni. Tapi apa mesej yang kau nak sampaikan sebenarnya?
Rontol // Nov 17, 2006 at 6:34 am
Lawa2,dah lama tak baca sejarah (;
kaki bangku // Nov 17, 2006 at 9:21 am
Huds, masih terlalu awal untuk memahami isu ini. Mungkin selepas beberapa episod baru akan jelas..
lonsaa // Nov 17, 2006 at 5:07 pm
menanti episod yg akan datang
lutfy // May 26, 2008 at 3:24 am
please brows this web site http://www.al-idrisiyyah.com
Leave a Comment