Baru-baru ini berkesempatan menonton DVD You’ve Got Mail, lakonan Tom Hanks dan Meg Ryan. Walaupun cerita ini mengisahkan komedi romantik di antara dua watak utamanya, tuan punya kedai buku mega Fox (Hanks) & tuan punya kedai buku kanak-kanak The Shop Around The Corner (Ryan). Mesej yang ingin disampaikan oleh filem ini ialah tentang persaingan sengit di antara dua kedai buku yang terpaksa berhempas-pulas untuk meneruskan survival kewujudan mereka.
Kedai buku kanak-kanak yang sudah beroperasi hampir 42 tahun dan memberi khidmat terbaik kepada komuniti setempat terutamanya kanak-kanak telah menjadi mangsa kerana gagal bersaing dengan kedai buku mega Fox yang lebih besar dalam serba-serbi, termasuk mempunyai koleksi terkini dan suasana yang cukup selesa untuk para pengunjung. Kedai buku The Shop Around The Corner terpaksa ditutup kerana kehilangan pelanggan, walaupun berbagai-bagai ikthtiar dilaksanakan untuk menarik pelanggan, namun tidak juga berhasil.
Apa yang ingin penulis kongsi dari filem ini ialah satu tragedi yang bukan sahaja berlaku di dunia maju tetapi juga berlaku di negara ini iaitu fenomena kedai buku indie (bebas) yang terpaksa ditutup kerana tidak upaya bersaingan dengan gergasi toko buku mega yang semakin hari semakin banyak membuka perniagaan di bandar-bandar besar dan kecil di seluruh negara. Kemunculan pemodal asing dalam dunia perbukuan negara sekarang diterajui oleh Popular Bookstores, Kinokuniya, Borders, Pay Less Books dan sebagainya. Toko-toko buku mega ini mampu bersaing kerana mereka mempunyai rangkaian antarabangsa dan punya cawangan di beberapa tempat di seluruh dunia. Mereka punya modal besar dan dapat mengawal pasaran.
Sementara toko buku bebas (tempatan) seperti Pustaka Antara, Marwilis, Hisbi, Minerva serta beberapa Pustaka yang dimiliki oleh India Muslim yang menjual buku-buku tempatan dan buku agama adalah milik persendirian yang terpaksa bersaing dengan toko buku mega ini. Adakalanya mereka ‘survive‘ tetapi pada pengamatan penulis, banyak sudah kedai buku bebas di negara ini terpaksa ditutup atau terpaksa menukar corak perniagaan lain yang tiada kaitan dengan buku!
Fenomena ini amat merugikan komuniti setempat kerana seperti sedia maklum, kedai-kedai buku ini selalunya menyediakan bahan bacaan yang sangat diperlukan oleh pembaca dan tuan punya kedai tersebut biasanya mengenali kebanyakan pelanggan yang datang ke kedai mereka. Mereka sering berbincang tentang buku-buku yang menjadi kegemaran pelanggan. Namun keadaan dan masa yang tidak menyebelahi mereka, ada kedai buku tempatan yang terpaksa ditutup kerana kekurangan pelanggan, pendapatan dan berbagai-bagai hambatan lain seperti sewa kedai yang semakin meningkat, harga buku yang semakin mahal, juga kerana orang dikatakan tidak suka sangat hendak membeli dan membaca buku… Namun apabila melintas di hadapan premis toko-toko buku mega ini alasan yang dinyatakan di atas tidak pula semacam berkaitan. Toko-toko buku ini penuh sesak dengan pelanggan dari kanak-kanak hingga ke golongan profesional.
Jadi apa seharusnya dilakukan untuk menjamin kedai-kedai buku bebas ini mampu bersaing dan terus wujud untuk selama-lamanya? Yang jelas, komuniti setempat perlu lebih menyokong kedai-kedai buku ini dan berharap dengan adanya sokongan dari para pelanggan, tuan punya kedai akan memperbaiki suasana dan menambah koleksi buku-buku yang dapat menarik seluruh lapisan masyarakat berkunjung ke kedai mereka. Tanpa sokongan pelanggan, banyak kedai buku seperti The Shop Around The Corner akan terpaksa membilang hari-hari terakhir mereka.
Bagi Sang Pencinta Buku, setiap kali kedai buku berhampiran mereka terpaksa ditutup, setiap kali itulah pula jiwanya berasa gundah. Mereka terpaksa mencari kedai buku lain yang dapat memenuhi naluri ingin membeli, membaca dan memiliki buku. Ke mana lagi arah tuju kembara sang pencinta buku, kalau tidak ke…

5 responses so far ↓
kaki bangku // May 8, 2007 at 6:24 am
Kaki Buku, selamat datang! =)
Saya jarang berkunjung ke kedai buku. Lepak kat pustaka lagi bes - ada lab komputer, jurnal dan buku-buku akademik berbanding buku-buku pop yang dijual di kedai buku. Kalau nak beli buku pop pun, beli second-hand secara online.
Bagi saya, fenomena buku-buku pop ni suatu perkembangan kurang sihat. Ianya lebih bersifat komersil berbanding ilmiah.
Maka lahirlah buku-buku psychobabble seperti “Men are from Mars, Women are from Venus”, “7 habits of highly effective people” dan sebagainya.
Maaf jika pendapat saya berunsur Marxis - sememangnya pemikiran saya banyak dibayangi idea sosialis akhir-akhir ni kerana sedang belajar sosiologi. Harap penulis dapat pertahankan struktur dan fungsi buku-buku pop ini.
Beralih kepada isu kedai buku Indie pula, masalah ini sememangnya lazim dihadapi oleh mana-mana kedai runcit sekarang. Lihat bagaimana Wal-Mart menindas kedai-kedai kecil di USA sejak 80an lagi. Begitu juga dengan pasaraya-pasaraya di Malaysia.
Opps, sekali lagi saya berfikiran sosialis. Tapi hakikatnya memang tak ada peluang bagi kedai buk Indie bersaing dengan toko buku.
Tapi saya kurang jelas kenapa Kaki Buku mempertahankan kedai buku Indie. Alasan yang diberikan agak kabur. Mungkin kemunculan blog dapat mengisi kekosongan penerbitan buku Indie.
mrq // May 8, 2007 at 6:49 am
kalau ikut economist, kalau peniaga kecil kene tutup mmg x bole buat ape laa. kalau nak protect diorg cuma akan lembabkan ekonomi n bebankan pengguna sbb mungkin kene bayar lg mahal. kalau penjual tempatan nak survive, kene la try jd competent, kurangkan harga buku ke… kalau nak bg sokongan pun kene ade insentif, huhu…..
rontol // May 8, 2007 at 4:10 pm
salam,
selamat datang kakibuku ke dalam keluarga kakiblog (-;
kakibuku // May 15, 2007 at 12:26 am
… kurang jelas kenapa kakibuku mempertahankan kedai buku Indie… mmmmph, ada banyak sebab kenapa kedai buku indie perlu dipertahankan terutama di Malaysia:
1. Kedai buku indie dimiliki oleh penggiat (industri) buku tempatan, mereka melabur modal yang tak seberapa dengan harapan dapat memberi peluang kepada para penulis/pengarang tempatan menyalurkan hasil karya mereka kepada para pembaca. Toko buku ‘mega’ tak berapa berkenan nak beri ruang kepada karyawan tempatan, kalau adapun terperusuk di barisan belakang rak-rak buku.
2. Kedai buku indie sudah lama wujud dan menjadi tempat pertemuan para karyawan, pemain-pemain industri lain seperti editor, ilustrator, pustakawan dan sebaginya. Di sinilah juga para pencinta buku mendapatkan bahan-bahan bacaan mereka.
3. Tuan punya kedai buku indie, biasanya seorang karyawan yang komited terhadap bidang mereka, contohnya allahyarham Dato’ Aziz Antara, Tuan Haji Marwilis, allahyarham Ustaz Saghir dan sebagainya. Begitu juga para petugas mereka selalunya ghairah dan berpengatahuan tentang buku dan cita rasa pelanggannya.
4. Menawarkan koleksi terpilih yang kadangkala tidak terdapat di tempat-tempat lain.
5. Sering terlibat dengan aktiviti komuniti setempat seperti mengadakan majlis pertemuan dengan para pengarang, mendermakan bahan-bahan bacaan kepada masyarakat yang memerlukan.
6. Membantu meningkatkan ekonomi domestik. Membeli buku di toko-toko buku ‘mega’ menggalakkan pelabur asing mengaut dan membawa hasil keuntungan ke luar negara.
… dan banyak lagi sebab kenapa pencinta buku dan kaum yang anti-kapitalis perlu menyokong kedai-kedai buku indie dan kalau boleh menyokong untuk membanyakkan lagi kewujudannya.
minna // Dec 4, 2007 at 3:40 pm
Betul kata kaki buku tu.
Saya mmg bersetuju sgt. Biasanya kalau kita pergi ke kedai-kedai buku kecil ni ada sentimental value skit.
Saya memang hantu buku, semua kedai buku samaada kecik atau besar, saya akan masuk. Saya akan pastikan saya akan membeli buku walaupun saya tak dapat diskaun di kedai buku tu.
Cuma kalau kita pergi di gedung buku yang besar, semua buku yang kita cari ada kat situ.
Baru-baru ni saya pergi ke book fair di jb. Ada diskaun sehingga 70%. Pagi-pagi lagi saya dah pergi.Tetapi alangkah kecewanya saya sebab buku-buku melayu cuma ada dalam 2 meja aje. Cubalah bayangkan, book fair tu di adakan di stadium tertutup. Stadium kan besar tapi buku melayu hanya ada 2 meja je. Kecewanya saya.
Lagi satu buku yang di beri diskaun hingga 70% semuanya buku cina. Namun begitu dah namanya pencinta buku, saya tetap membeli demi menyokong industri buku tempatan kita.
sekian
Leave a Comment