© 2007 Kakiblog.com
Kakiblog.com header image

Asia Tenggara pasca 11 September

May 9th, 2007 · 3 Comments

Peristiwa 11 September menyebabkan AS secara tiba-tiba memberi tumpuan yang serius terhadap rantau Asia Tenggara. Rantau ini telah dipinggirkan oleh pentadbiran AS di Washington D.C semenjak berakhir era Perang Dingin pada tahun 1989. Ini berikutan AS tidak lagi melihat rantau Asia Tenggara sebagai kawasan yang penting terhadap strategi keselamatan negaranya selepas berakhir era Perang Dingin dengan keruntuhan empayar komunis Kesatuan Soviet. Maka secara langsung AS tidak lagi melihat wujud ancaman yang utama terhadap soal keselamatannya sebaik berakhir era Perang Dingin. Namun, secara tiba-tiba sekali lagi AS terpaksa memberi perhatian yang serius terhadap rantau Asia Tenggara pasca 11 September yang telah dipinggirkan olehnya semenjak berakhir era Perang Dingin. Perubahan sikap AS terhadap rantau Asia Tenggara pasca 11 September adalah disebabkan oleh kempen memerangi keganasan antarabangsa yang telah dipersepsikan oleh AS sebagai ancaman utama terhadap keselamatannya dan keselamatan antarabangsa. Rantau Asia Tenggara dianggap kawasan yang penting dalam usaha untuk menghapuskan ancaman keganasan antarabangsa selepas tragedi 11 September. Ini kerana kempen AS memerangi kumpulan pengganas antarabangsa yang dikaitkan dengan rangkaian global kumpulan militan Islam Al-Qaeda dilihat mempunyai kaitan dengan populasi Muslim yang majoriti di rantau ini.

al-qaeda.jpg

Al-Qaeda

Faktor utama yang mendorong AS memberikan perhatian yang serius terhadap rantau Asia Tenggara adalah kewujudan masyarakat Islam yang majoriti di rantau ini terutamanya di negara-negara yang terletak dibahagian kepulauan. Penduduk Islam di rantau Asia Tenggara dianggarkan berjumlah 280 juta orang. Selain itu, rantau Asia Tenggara juga merupakan rumah kediaman bagi masyarakat Islam terbesar di dunia yang tertumpu di Indonesia(Gershman 2002). Faktor kedua penting, mendorong AS menumpu perhatian terhadap rantau Asia Tenggara selepas peristiwa 11 September adalah kewujudan kumpulan-kumpulan militan Islam tempatan yang beroperasi di rantau ini. Hasil daripada maklumat agensi perisikannya iaitu CIA dan FBI, AS mendapati bahawa kewujudan kumpulan-kumpulan militan Islam tempatan di rantau Asia Tenggara mempunyai hubung kait yang rapat dengan Perang Afghan pada tahun 1980an(Abuza 2003).

Antara kumpulan-kumpulan militan Islam yang wujud dan beroperasi di rantau Asia Tenggara adalah Laskar Jihad, Front Pembela Islam(FPI), Jemaah Islamiyah(JI), dan Kumpulan Mujahidin Malaysia atau KMM(Daljit Singh 2002:16-18). Pada masa yang sama, kumpulan-kumpulan militan Islam ini turut mempunyai hubungan dengan rangkaian antarabangsa Al-Qaeda melalui beberapa saluran(Abuza 2003). Selain kumpulan-kumpulan militan Islam tempatan, kumpulan-kumpulan pemisah Islam di kepulauan Mindanao Selatan Filipina iaitu MILF [3]dan Abu Sayyaf juga mempunyai kaitan dengan rangkaian antarabangsa Al-Qaeda(Simon 2002). Kedua-dua kumpulan pemisah Islam ini bersama-sama dengan MNLF mempunyai matlamat yang sama iaitu memperjuangkan kemerdekaan dan pemisahan wilayah Mindanao daripada negara Filipina. Mereka juga becita-cita untuk mewujudkan corak pemerintahan Islam di wilayah Mindanao(Gunaratna 2003).

AS juga mendapati, hasil daripada pengaruh Al-Qaeda kumpulan-kumpulan militan dan pemisah Islam di rantau Asia Tenggara bercita-cita untuk menubuhkan sebuah negara Islam yang besar di rantau Asia Tenggara yang dikenali “Pan Islamic Nation” dengan menggunakan pendekatan kekerasan dan kaedah-kaedah keganasan untuk mencapai cita-cita tersebut(Rosemary 2003). Kumpulan-kumpulan Jemaah Islamiyah, Abu Sayyaf, MILF, dan KMM dipercayai ingin menyatukan negara Malaysia, Indonesia, Selatan Thailand, Selatan Filipina, Singapura serta Brunei menjadi sebuah gabungan entiti politik negara Islam yang besar dan menggunakan sistem perundangan Islam iaitu Syariah sebagai asas pemerintahan(Gershman 2002).

Selain itu daripada maklumat agensi perisikannya, AS mengetahui bahawa sebelum berlaku tragedi 11 September dua orang daripada pengganas yang terlibat dalam peristiwa tersebut iaitu Zaccarias Moussaoi dan Mohamad Atta telah melawat Kuala Lumpur di Malaysia dan berbincang mengenai rancangan mereka untuk melakukan serangan terhadap AS pada 11 September 2001(Capie&Acharya 2003). AS juga melihat kumpulan-kumpulan militan dan pemisah Islam di rantau Asia Tenggara telah menjadikan warganegara dan kepentingannya di rantau Asia Tenggara sebagai sasaran tindakan keganasan mereka.

Kumpulan Abu Sayyaf, di Selatan Filipina telah menahan tiga orang tebusan warganegara AS dan telah memenggal kepala salah seorang daripada mereka. Pada tahun 2002, kumpulan militan Islam telah meletupkan sebuah kelab malam di Bali Indonesia yang mengakibatkan kematian beberapa ratus orang pelancong barat. Seterusnya pada tahun 2003, hotel J.W.Marriot milik rakyat AS di Jakarta telah dibom oleh kumpulan militan Islam(Ibid: 8-9). Kelemahan dan kegagalan, pihak berkuasa negara-negara di rantau Asia Tenggara untuk menangani aktiviti-aktiviti keganasan di dalam wilayah mereka juga merupakan faktor penting yang mendorong AS untuk memberi perhatian yang serius terhadap rantau Asia Tenggara selepas peristiwa 11 September.

Melihat kepada fakta-fakta tersebut, pentadbiran AS telah menilai dan mengkaji semula kepentingan rantau Asia Tenggara dalam dasar luarnya. Rantau Asia Tenggara dilihat mempunyai kedudukan geo-strategik dan penting dalam menjayakan kempen memerangi keganasan antarabangsa. Rantau Asia Tenggara telah mendapat keutamaan yang penting dari AS selepas peristiwa 11 September.

Tags: Antarabangsa · Politik · Umum

3 responses so far ↓

  • kaki bangku // May 9, 2007 at 6:05 pm

    Apakah prospek AS menjadikan Singapura sebagai kubu operasi Asia Tenggara sebagaimana Israel adalah proksi di Timur Tengah?

  • kaki masam // May 9, 2007 at 7:19 pm

    Kubu operasi merupakan perkataan yang agak keras untuk diguna pakai.
    Harus diingat rantau ini tidak mempunyai pergolakan seperti di Asia Barat dan Timur Tengah.

    Sebagai contoh, sekalipun Indonesia bleh di kira sebagai ancaman kepada US (JI dsbnya), US tidak pernah berniat untuk melancarkan perang terhadap Indonesia mahupun negara2 serantau.

    US sebenarnya hanya menggunakan kekerasan dalam memastikan survival sistem ekonomi kapitalisnya seperti yang berlaku di Iraq dan Afghanistan dimana jelas ia merupakan konspirasi pakatan barat yg diketuai AS untuk memastikan krisis tenaga tidak sampai ke tahap kritikal.

    Negara2 kecil seperti Malaysia dilihat cuba menjaga kedaulatan mereka dari diceroboh daripada AS. Kenyataan2 yang dikeluarkan yg berbentuk amaran untuk kepada US boleh disimpulkan sebagai salah satu agenda kepada survival politik.
    Sebagai contoh, Malaysia merupakan rakan dagangan ke 10 terbesar US, lebih besar daripada India.

  • moses // May 12, 2007 at 3:01 pm

    Semua pun kerana minyak. Rantau Asia Tenggara tidak dalam perhatian AS kerana disini stok minyaknya tidak lah seperti di timur tengah.

    11 September, hanyalah konspirasi puak tertinggi AS untuk survival ekonomi mereka semata mata.

    Tempias nya, kene la juga ke Asia Tenggara..just demi menunjukkan ‘pengganas’ ada di mana mana.

Leave a Comment