© 2007 Kakiblog.com
Kakiblog.com header image

Talqinkan Politik Perkauman

September 8th, 2007 · 2 Comments

Politik berasaskan perkauman yang menjadi ciri utama praktik politik di negara ini jelas sudah ketinggalan zaman. Sejarah telah membuktikan bagaimana parti Nazi di German pimpinan Adolf Hitler yang suatu masa dahulu gah dengan fahaman perkauman melampaunya musnah dan menemui kemerosotan menjelang berakhirnya Perang Dunia Kedua.Begitu juga dengan fahaman Fasisme (iaitu sistem politik ekstrim berhaluan kanan yang bersifat autokratik), gagasan diktator Itali, Benito Mussolini yang menyemai semangat nasionalisme melampau dan memupuk fahaman perkauman ekstrim, juga akhirnya menemui ajal.

Di Malaysia pula, ketika mana pimpinan kerajaan menyeru ke arah perpaduan dan integrasi nasional, ketika itu jugalah kepimpinan Pergerakan Pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) menghunus-hunus keris ‘keramat’ Panca Warisan, seakan-akan memberi amaran dan ancaman kepada mana-mana pihak yang cuba menggugat atau mencabar status quo bangsa Melayu.

Tambah menarik ialah apabila barisan pemuda Persatuan Cina Malaysia (MCA) kemudiannya berpura-pura menjadi hero bangsa mereka pula dengan membalas amaran kepimpinan Pemuda UMNO tadi dengan aksi menjulang teks Perlembagaan Persekutuan, seolah-olah menempelak tindakan biadap dan agresif Pemuda Umno itu.

Apa yang pasti, lakonan politik picisan yang diamalkan oleh kepimpinan parti-parti berfahaman rasis ini jelas mengundang ketidakselesaan di kalangan rakyat. Orang-orang Melayu akan merasa gusar, tertekan dan bimbang dengan tanggapan palsu (yang disemai oleh pemimpin UMNO) bahawa orang-orang Cina sedang mengatur langkah untuk menguasai negara ini dan seterusnya menindas hak orang Melayu. Bangsa Cina pula akan merasa terancam dengan ‘hunusan keris’ Pemuda Umno sambil berasakan bahawa hak mereka sebagai warganegara Malaysia semakin dirobek dan diancam.

Dan lakonan demi lakonan, sandiwara demi sandiwara akan terus dipentaskan oleh pemimpin-pemimpin politik perkauman ini setiap kali mereka merasakan bahawa sokongan rakyat terhadap kepimpinan parti semakin terhakis. Rakyat pula adakalanya tidak menyedari bahawa apa yang dipaparkan oleh media mengenai ‘kehebatan’ dan ‘kegemilangan’ pemimpin mereka ini sebenarnya merupakan satu pembohongan yang terselindung. Hakikatnya, pemimpin yang dikatakan ‘hebat’ dan ‘gemilang’ inilah yang paling bejat dan rakus, mengkhianati amanah yang telah dipertanggungjawabkan ke atas mereka.

DYTM Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah di dalam sebuah majlis bersama barisan kepimpinan mahasiswa tempoh hari, bertitah menyeru golongan mahasiswa agar jangan sekali-kali mengeksploitasikan isu-isu yang menyentuh sensitiviti masyarakat seperti isu perkauman dan agama dalam mencapai cita-cita politik di masa hadapan. Baginda juga mengajak segenap lapisan rakyat supaya kembali berpegang kepada prinsip keadilan dan kebebasan seperti mana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan demi memastikan keutuhan perpaduan dan keharmonian di kalangan mereka.

Apa yang pasti, meski pun negara sudah 50 tahun mencapai kemerdekaan dengan menikmati kepesatan pembangunan infrastruktur dan peningkatan tahap ekonomi, pun begitu masih banyak kepincangan berlaku dalam konteks perpaduan antara rakyat serta kegagalan dalam proses pembentukan sebuah bangsa Malaysia.

Maka dari itu, anak-anak muda, khususnya yang bergelar mahasiswa haruslah memainkan peranan sebagai agen penggerak perubahan dalam usaha untuk menyedarkan masyarakat akan peri pentingnya menolak pemimpin yang menjadikan sentimen kaum dan agama sebagai modal dalam usaha untuk meraih sokongan politik. Selagi mana pendekatan politik yang berasaskan sentimen perkauman terus diamalkan di negara ini, selagi itulah cita-cita untuk melahirkan sebuah bangsa Malaysia yang unggul dan sejati tidak akan terlaksana.

*Artikel ini telah diterbitkan buat pertama kalinya di laman web Merpati Jingga.

Tags: Umum

2 responses so far ↓

  • ku keng // Sep 8, 2007 at 11:57 pm

    Dan perkembangan politik perkauman semakin merebak bro.

    Amat menarik di sini http://www.policewatchmalaysia.com/

  • hikmatun // Sep 15, 2007 at 5:52 am

    Salaam alaikum. Semoga kita berpolitik kerana sayangkan manusia, bukan kerana mendabik dada dengan ideologi masing-masing.

    Untuk sayangkan manusia, perlu kepada peraturan yang dibuat oleh pencipta manusia itu sendiri. Semoga hukum Allah kembali tegak di muka bumi ini, aamiiin.

    Jazaakallahu khoirol jazaa’ :)

    p/s: Selamat berpuasa, berbuka, bersahur dan selamat semuanya.

Leave a Comment