Assalamualaikum.
Salam sejahtera.
Saya tidak pasti siapa yang mengucapkan ungkapan ini.
“Orang bijak berbicara kerana ada perkara yang perlu dikatakan, orang yang kurang bijak berbicara kerana dia merasakan perlu untuk berkata-kata.”
Entri Najwan yang terdahulu, mengkritik secara ’satira horatia‘, perihal remaja/belia Malaysia yang tidak pandai berwacana. Memandang satu-satu isu secara superficial - hanya pada permukaan, tanpa analisa mendalam, atau paling tidak pun hanya merujuk kepada ‘analisa’ (atau wajarkah saya gunakan istilah pseudo-analisa?) pihak-pihak lain yang lebih berlandaskan emosi atau bias peribadi. Sudahnya pi mai pi mai tang tu jugak. Tidak ada apa-apa yang baru, sekadar mengulang-ulang cerita lama yang diwarnakan dengan semangat baru.
Sesetengah komen dalam KAKI juga jatuh dalam kategori ‘orang kurang bijak’ yang saya tuliskan di atas. Maaf, tapi kalau anda tidak ada apa-apa yang penting untuk dicakapkan, lebih baik diam daripada menyebabkan orang lain kecewa melihat mentaliti yang ditunjukkan. Tunjukkan mentaliti anda yang sebenar - yang pintar dan analitikal. Hargailah akal pemberian Tuhan!
Satu pihak lagi pula ‘terlebih’ berwacana. Galak menganalisis, setiap ceruk dikorek-korek dan dikikis-kikis. Isu sehujung kuku, dikupas sedalam-dalamnya, dan wah, ada pula perkaitan-perkaitan menarik yang dapat dibuat! Sudahnya perkara yang tidak patut dijadikan isu, non-issue, diperlakukan seolah-olah masalah paling besar dalam dunia. Exaggeration berleluasa. Maka terbazirlah masa yang digunakan membincangkan masalah, mencari pihak untuk dituding dipersalahkan, dan mengeluarkan penyelesaian terhadap kesulitan yang direka-reka sendiri. Malang sungguh!
Sesekali menjengah aktivisme mahasiswa - secara jarak jauh melalui pembacaan atau khabar daripada teman-teman aktivis, secara ‘jarak dekat’ apabila terlibat secara langsung baik di sini (UK) mahupun di Malaysia, memang kelemahan berwacana patut dikeluhkan. Isu dipandang dan dianalisis daripada skop sempit berpandukan dogma yang ditanamkan dalam kepala, tidak sekali-kali mahu mengambil kira pandangan daripada sudut berbeza. Ataupun mengutamakan kepentingan sendiri dan perancangan sendiri, sekaligus mengetepikan (atau acuh-tak-acuh) peranan dan pendapat orang lain, terutamanya yang tidak dianggap ’sebahagian daripada jemaah’ atau ‘tidak ada fikrah’. Duhhh.
Romantisme ‘jalan perjuangan yang penuh berliku’, ‘menuntut keadilan’ dan lain-lain yang sama macam dengannya mudah dan lazat benar membuai. Struggle between good and evil sentiasa menjadi formula mudah sebuah cereka yang berjaya, epik yang dikenang zaman-berzaman, dengan wiranya sangat tabah melawan kezaliman. Hello, ini dunia nyata dan bukan filem Lord of The Rings atau cerita Bawang Putih Bawang Merah. Saya bosan melihat ‘pejuang-pejuang’ yang ralit dalam perjuangan mereka tanpa mempedulikan realiti. Asyik dengan slogan-slogan kosong, kutuk dan cerca sana sini, ada maklumat-maklumat hangat waaaah jom sebarkan, ulang-ulang ke mana sahaja pergi, sahih atau tidak itu belakang kira yang penting “aku berjuang!”.
Kalau yang ikut program ‘underground‘ keterujaan bertambah, seperti deskripsi gerakan pelajar anti-establishment di Perancis “macho, and irresistibly cool”. Makin rasa macam pejuang. Lebih memancutkan adrenalin kalau mendapat sorakan - selepas bertanya soalan kontroversi yang tidak membawa sebarang impak yang jelas pun kalau ditanya, atau membuat kenyataan-kenyataan yang sedap didengar lagi membangkitkan semangat walaupun sebenarnya kosong - dalam majlis-majlis atau perhimpunan yang ada banyak anak-anak muda. Apabila dibuat kajian lanjut dan teliti tentang kesan langsung yang dapat didatangkan oleh ‘pejuang-pejuang’ ini kepada umat… err…?
Kemudian golongan ini jugalah yang galak berteriak memprotes. Kerajaan mengongkong! Kerajaan jahat! Kerajaan ancam tarik biasiswa kalau buat begitu! Kerajaan buang universiti kalau buat begini!
Banyak ruang sebenarnya yang lebih realistik dan praktikal untuk aktivisme mahasiswa mengambil tempat. Usaha pengembangan wacana intelektual yang bersungguh-sungguh contohnya, tanpa begitu terburu-buru membabitkan politik. Aktiviti kebajikan. Program-program agama yang luhur. Atau setidak-tidaknya, amar makruf nahi mungkar dan dakwah fardiyah (google saja istilah-istilah ini kalau tak faham) boleh dilakukan on a personal basis. Bukan memperkecilkan atau menidakkan kepentingan politik, atau ‘pejuang-pejuang’ yang memilih landasan politik. Hanya bosan dan menyampah melihat sekelompok (kecil atau besar ya?) yang sibuk bermain-main dengan ruang lingkup sempit, bermain retorik, berpijak di atas angin dan perasan bagus, lantas mengeluh kebebasan disekat untuk membela umat, mengeluh remaja rosak, mengeluh kerajaan tidak adil, tetapi tidak mengambil inisiatif (yang memang wujud kalau rajin dan mahu mencari) yang benar-benar realistik dan praktikal.
Saya tidak membuat generalisasi di sini. Kalau anda tidak tergolong dalam golongan yang saya kritik, anda tidak perlu membela diri dengan menyatakan “Bukan semua orang seperti itu” atau “Itu silap sesetengah individu sahaja”. Membazir.
Saya tamatkan dengan bait-bait sajak Zaen Kasturi,
orang yang mendakwa bahawa dirinya lebih abid daripada orang lain adalah suatu kelucuan yang sewajibnya ditangiskan.
Selamat berfikir.
meow~

9 responses so far ↓
Kaki Bangku // Sep 9, 2007 at 8:19 pm
Kritikan yang dibangkitkan dalam artikel ini memang benar belaka. Sangat relevan dan perlu diambil teladan. Tapi ada sedikit kelemahan kerana pengarangnya sendiri menggunakan serangan Straw Man untuk menguatkan hujahnya apabila menyatakan “Saya tidak membuat generalisasi di sini. Kalau anda tidak tergolong dalam golongan yang saya kritik, anda tidak perlu membela diri”
Apakah beliau sendiri termasuk dalam kelompok yang “…memandang satu-satu isu secara superficial - hanya pada permukaan, tanpa analisa mendalam, … Sudahnya pi mai pi mai tang tu jugak. Tidak ada apa-apa yang baru, sekadar mengulang-ulang cerita lama yang diwarnakan dengan semangat baru”?
Tapi tak mengapa, kita semua secara sedar atau tidak mendakwa diri sendiri lebih abid daripada orang lain dan ini semestinya adalah suatu kelucuan yang sewajibnya ditangiskan. Manakan tidak kalau si Mufti nun di utara sana pun bersikap holier-than-thou!!!
adibahabdullah // Sep 9, 2007 at 9:40 pm
Betul, bangku.
Seperti ayat yang selalu diulang-ulang di mana-mana sahaja sehingga sudah menjadi klise yang kadang-kadang hambar makna.. “peringatan ini untuk diri saya sendiri juga…”
Dalam hidup banyak langkah yang kita aturkan. Antara langkahan yang banyak-banyak itu mungkin sekali, tidak dapat tidak, saya, anda, dia, atau mereka, atau mufti di mana-mana sahaja, bila-bila masa tergelincir dalam “kelompok itu”!
Jaga-jaga~
(sebenarnya ’straw man’ yang saya gunakan itu bertujuan untuk mengelakkan komen yang membazir. kadang-kadang perkara yang sudah obvious pun banyak yang suka saja ulang-ulangkan. maaf kalau ia seperti ‘menyekat kebebasan berfikir dan berbicara’)
~~ meow!
Taufik // Sep 10, 2007 at 2:17 am
Oit, tiba-tiba mufti nun di utara pulak kena libas. Pening-pening… Maybe it’s js beyond me… hehe..
farhan // Sep 10, 2007 at 2:40 am
tak lengkap ke kalo tak masukkan sekali mufti nun di utara dalam komen awak tu bangku?
seakan ada kebencian yg amat oleh bangku akan mufti itu..
kaki bangku // Sep 10, 2007 at 7:12 pm
Aduhai saudaraku Taufik dan Farhan…. banyak-banyak isu mendasar yang dibincangkan, takkan setakat nak pertahankan isu yang “superficial” itu aja?
im_koyube // Sep 13, 2007 at 10:54 pm
bismillah..
pertamanya ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadhan kpd shbt2 di sini..^_^
maaf sekiranya komen ini mengguris hati sesiapa..
pertamanya saya nak ingatkan bahawa kita sesama muslim perlu hormat menghormati dan bak kata stephen covey,seek 1st to understand than to be understood.
ada sesetengah gerakan islam di kalangan mahasiswa yg bergerak secara rahsia. maka kita kena hormati cara mereka bergerak utk islam. tidak moleklah jika kita menulis mengenai secara awam begini kerana ia tidak akan akhirnya membawa penyelesaian konkrit, realistik mahupun ilmiah. Ia hanya pada akhirnya menimbulkan kekeliruan lama berwajah baru yang tidak perlu dan mengancam gerak kerja dakwah orang lain. Is it good? Sampai bila umat islam nak jadi gitu?
Petikan konklusi berbunyi “orang yang mendakwa bahawa dirinya lebih abid daripada orang lain adalah suatu kelucuan yang sewajibnya ditangiskan ” sememangnya tidak membawa kepada satu konklusi yg efektif sebaliknya menimbulkan konotasi yang bersifat provokatif, kontrovesi dan tidak jelas ke mana hala tujunya.
Jika penulis mempunyai sesuatu mesej yg jelas dan konkrit, mengapa tidak mengambil petikan dr ayat2 suci Al-Quran atau hadis atau sekurang-kurangnya kata-kata ulama’ masyhur?
Bg saya, luahan atau artikel di atas perlu disalurkan melalui cara yg sesuai,sesuai dgn adab kita dalam berbeza pendapat; sesuailah dgn tahap kematangan dan intelektual kita.
Jika penulis ikhlas menegur dan inginkan pembaikan yg mantap, mungkin cara muzakarah adalah cara yg lebih baik kerana di laman maya ini,semua golongan boleh baca. Moga2 faham maksud saya.
Malah,bg saya,siapalah kita untuk menulis artikel seperti di atas jika kita bukanlah orang yg terlibat dalam gerak kerja atau modus operandi gerakan tersebut??Fikir-fikirkan. Jika penulis juga terlibat,mungkin saya boleh consider..
Persoalan terlalu terburu-buru terlibat dalam politik adalah satu persoalan yang perlu difikirkan sebaiknya sebelum mempersoalkannya. Nasihat saya, sebelum sesiapa ingin mempersoalkan penglibatan sesiapa dalam politik, lihatlah dahulu kepada tujuan kita diturunkan ke atas muka bumi ini, bukankah sebagai khalifah? lihatlah dulu peranan dan pengorbanan para anbiya’, bukankah mereka diturunkan untuk memimpin umat mereka? Sesungguhnya penglibatan dalam siasah/urus tadbir/governance sesebuah ummah adalah sunnah terbesar yg wajib kita laksanakan. Bukankah Rasulullah sebelum wafatnya beliau berpesan Ummati sebanyak tiga kali! Bermaksud betapa urusan mentadbir sesuatu ummah dan care for this ummah adalah satu amanah yang cukup besar dan mulia yang seharusnya dipikul secara kolektif. Di mana izzah kita sbg ummat Rasulullah utk menarik diri drpd terlibat drpd hal ehwal arus perdana ummah?!
Sekadar pandangan insan yg lemah. Boleh diterima boleh ditolak. Moga-moga artikel seperti ini tidak-lah di publish kan secara umum dan gunakanlah saluran yg lebih sesuai..insyaAllah..
wassalam..
adibahabdullah // Sep 22, 2007 at 2:12 pm
salam,
Saya sebenarnya malas hendak respon kepada komen-komen seumpama ini. Seek first to understand than to be understood, err cuba aplikasikan kepada diri sendiri, anda cuba memahami artikel saya betul-betul dulu ke?
“Bukan memperkecilkan atau menidakkan kepentingan politik, atau ‘pejuang-pejuang’ yang memilih landasan politik. Hanya bosan dan menyampah melihat sekelompok (kecil atau besar ya?) yang sibuk bermain-main dengan ruang lingkup sempit, bermain retorik, berpijak di atas angin dan perasan bagus, lantas mengeluh kebebasan disekat untuk membela umat, mengeluh remaja rosak, mengeluh kerajaan tidak adil, tetapi tidak mengambil inisiatif (yang memang wujud kalau rajin dan mahu mencari) yang benar-benar realistik dan praktikal.”
Saya rasa bait ayat itu sudah cukup untuk menjawab semua kritikan saudara.
Oh ya, kalau ikhlas mesti petik ayat al-Quran, hadis atau kata ulama’ sahaja ke? Jadi Stephen Covey tu tak boleh diambil la pandangannya kerana mesti laa dia tak ikhlas kan?
Saudara, penyair adalah golongan yang penting dalam menjadi suara umat, mengkritik seribu kepincangan, melakar sejuta gambaran, hanya dengan beberapa patah perkataan. Tak ingatkah bagaimana Khaulah bint Thalabah dimuliakan sebagai penyair pada zaman Rasulullah S.A.W.? Anda pernah dengar nama Jalaluddin al-Rumi, Chairil Anwar, Taufik Ismail? Atau Rahimidin Zahari, Usman Awang? Salahkah memetik kata-kata mereka jika ia mempunyai mesej yang konkrit? Uh, pembetulan, mesej yang konkrit kepada yang mahu berfikir.
“Malah,bg saya,siapalah kita untuk menulis artikel seperti di atas jika kita bukanlah orang yg terlibat dalam gerak kerja atau modus operandi gerakan tersebut??Fikir-fikirkan. Jika penulis juga terlibat,mungkin saya boleh consider..”
Saudara, mengkritik tulisan atas dasar tulisan, bukan atas latar belakang penulis. Memang latar belakang penulis (jika diketahui) akan memberi kredibiliti atau mencacatkan terus autoriti sesebuah tulisan. Jika tidak diketahui, adalah tidak adil untuk menghukum serta-merta. Ini saya kira sebagai serangan peribadi yang tidak sepatutnya dimasukkan dalam komentar yang (sepatutnya) bersifat intelektual. Mungkin bangku ada istilah pelik yang boleh digunakan untuk mengklasifikasikan serangan jenis ini.
InsyaAllah Wacana III akan muncul selepas saya menyiapkan tugasan neurologi yang bertimbun ini. Kita bersaudara kerana Islam, akhi. Setiap perkara itu ada tempatnya, hanya kerana cara yang berbeza daripada cara anda, jangan tergesa-gesa mengutuknya sebagai salah.
Kalau saudara masih tidak bersetuju, silakan.
meow~
Kaki Bangku // Sep 23, 2007 at 5:17 am
Dibah, istilahnya Ad Hominem!
Wacana II (apologi kepada Najwan Halimi!) : Bolehland // Sep 23, 2007 at 8:13 am
[...] Oleh Adibah Abdullah [...]
Leave a Comment