© 2007 Kakiblog.com
Kakiblog.com header image

Acier 3.0

February 20th, 2008 · No Comments

Menurut Majalah Forbes, terdapat seorang manusia di muka bumi ini yang mempunyai harta berjumlah $51 billion. Forbes juga turut mendefinisikan manusia ini sebagai makhluk ke lima terkaya di dunia pada tahun 2007 selepas, Bill Gates, Warren Buffet,Carlos Slim Helú dan Ingvar Kamrad.

Lakshmi Mittal merupakan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Arcelor Mittal, gergasi pengeluar besi terbesar di dunia yang wujud pada tahun 2006 setelah Mittal Steel membeli majoriti saham Arcelor untuk mengawal pentadbiran Arcelor.

Penggabungan yang dipandang enteng oleh sesetengah pakar ekonomi Eropah itu berjaya dibidas dengan nyata apabila pada 13 Februari tahun ini Arcelor Mittal mengumumkan keuntungan sebelum faedah dan cukai bejumlah $19.4 billion daripada jualan langsung $105 billion, 27% melebihi keuntungan kedua-dua syarikat sebelum penggabungan pada tahun 2006.

Dengan lonjakan harga besi dunia dipacu oleh permintaan tinggi daripada China, Lakshmi sudah tentu tidak mahu ketinggalan. Hal ini jelas dibuktikan dengan persaingan sengit antara Arcelor Mittal dan gergasi besi Jerman, ThyssenKrupp dalam usaha membida Dofasco, salah sebuah pengeluar utama besi di Canada selepas Stelco. Persaingan sengit ini diteruskan apabila Corus, sebuah firma yang diasaskan oleh persatuan Industri Besi British dan sebuah firma Belanda, Hoogovens memilih gergasi besi India Tata sebagai pembeli syarikat mereka menjangkaui ramalan kebanyakan penganalisis di London Stock Exchange bahawa CSN daripada Brazil akan memenangi perlumbaan merebut Corus ini.

Industri ini dipanaskan lagi apabila Mittal Steel (juga dipunyai oleh Lakshmi Mittal) membeli International Steel,gergasi besi AS yang berpangkalan di Cleveland,Ohio.

Menyelusuri sejarah Lakshmi Mittal, graduan St. Xavier’s College, Kolkata ini memulakan perniagaan besinya daripada “scratch” apabila bapanya menolong beliau untuk membuka sebuah kilang besi di Indonesia pada tahun 1975.

Kemampuan Lakshmi untuk mengintai peluang DRI (direct-reduced iron) untuk menjadi bahan utama dalam kilang pengeluaran besinya membawa satu anjakan paradigma baru dalam industri besi.

Majalah The Economist melaporkan bahawa pembekal utama DRI ketika itu, sebuah syarikat besi yang berpangkalan di Trinidad,menjemput Lakshmi untuk melakikan sesuatu memandangkan syarikat itu mengalami masalah kewangan yang agak kritikal.

Lakshmi tidak memandang kebelakang lagi selepas itu apabila berjaya membawa pulangan kepada syarikat tersebut dan akhirnya membelinya pada tahun 1994.

Ianya berterusan apabila pada tahun yang sama Lakshmi membeli sebuah kilang DRI di Mexico,dan masing-masing di Canada dan Jerman.

Kesemua syarikat ini mengalami masalah kritikal dan hampir muflis dan mahu dijual dengan kadar yang segera oleh kerajaan masing-masing.

Namun titik tolak kepada kebangkitan Mittal Steel adalah apabila krisis syarikat gergasi besi di Eropah Timur( dahulunya Soviet Union) berjaya diintai oleh Lakshmi, dan membeli syarikat tersebut dan berjaya membawa kejayaan yang tidak mungkin mampu dicapainya pada hari ini.

Sesetengah penganalisis di Jalan Dinding (Wall Street) New York, sering menganggap Lakshmi mempunyai tangan magik yang mampu mengubah arang menjadi emas.

Keajaiban untuk menjadi kaya dalam sekelip mata mungkin tidak menjadi satu kehairanan di Lembah Silikon (Silicon Valley), apabila firma gergasi seperti Yahoo!, Google mahupun Facebook menjadi fenomena dalam masa yang singkat.

Namun dalam industri beratus tahun seperti besi ini, ianya satu kejayaan yang menakjubkan bagi Lakshmi.

Mampukah Lakshmi bertahan pada hari mendatang dengan kerancakan China untuk membina fasiliti bertaraf dunia dengan permintaan besi yang semakin meningkat.

Mampukah Lakshmi menyaingi salah satu daripada cabaran paling besar untuk tempoh terdekat ini apabila syarikat perlombongan terbesar dunia BHP Billiton sedang dalam usaha untuk membeli Rio Tinto,sekaligus menjadikan mereka sebagai satu pertiga daripada sumber besi dunia. Satu ancaman kepada Mittal kerana ia boleh menyebabkan monopoli berlaku sekaligus harga bekalan mentah besi akan melambung.

Nota: penulis merupakan pembaca setia Harvard Business Review, BusinessWeek, Far Eastern Economic Review,Toyo Keizai,MIT Sloan Management Review dan The Economist.

Tags: Antarabangsa

0 responses so far ↓

  • There are no comments yet.

Leave a Comment